Saturday, 30 July 2011

Bulan Ramadhan datang kembali:Ramadhan Kareem

Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah s.w.t. dalam keadaan sembunyi atau terbuka. Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah s.w.t.
Prof. Doktor Wahbah az-Zuhaili. (di dalam Tafsir al Munir : Juzuk kedua/ muka surat 130. Cetakan Darul Fikri Damsyik) ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa Ibadah Puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t melalui beberapa faktor :
1. Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah s.w.t. dalam keadaan sembunyi atau terbuka. Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah s.w.t. (Seseorang boleh makan lalu berpura-pura lapar di hadapan manusia tetapi tidak di hadapan Allah s.w.t. Justeru Allah s.w.t adalah Tuhan yang Maha Mengetahui)
2. Mengekang keterlanjuran syahwah dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. (lantaran puasa melemahkan gelora nafsu)
3. Mencetus naluri yang peka (sensitive) dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain. (Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik)
4. Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang–orang kaya dan miskin. (di sisi Allah s.w.t)
5. Meletakkan kehidupan Insan dan pengurusannya di atas sistem (yang benar dan menepati fitrah) dan mendisiplinkannya.
6. Memulihkan struktur dalaman tubuh, menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang memudharatkan jasad.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَتَّقُواْ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّكُمۡ فُرۡقَانً۬ا وَيُكَفِّرۡ عَنڪُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar
[Surah Al-Anfal 8 : Ayat 29]

Ramadan al-Mubarak bulan tarbiah dan juga tazkiyatun nafsi buat manusia agar kembali kepada fitrah yang suci. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Maka kembalilah mereka ibarat bayi yang baru lahir suci daripada segala dosa.
Kita digalakkan memperbanyakkan amal ibadah dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T serta banyakkan muhasabah diri. Sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W bermaksud; "Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua Syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu Neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu Syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu.
Penyeru pun menyeru: "Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah! Dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah! Dan (yang ikhlas) kerana Allah, akan dibebaskan daripada api Neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan." (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)
Dikatakan Ramadhan ini bulan penyucian jiwa kerana pada bulan ini setiap umat manusia beragama Islam akan sebolehnya mengubah tabiat dan perangai. Pada bulan ini setiap daripada kita sedaya upaya melakukan perubahan diri berbanding pada bulan-bulan sebelumnya.
Segala benda dan perbuatan ini hanya boleh dilakukan dengan adanya rasa keimanan dalam jiwa. Menurut penceramah bebas, Ustaz Hazlin Baharin, Ramadan itu dikatakan sebagai bulan penyucian jiwa kerana ia dapat membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada sebarang kerosakan dan gangguan syaitan.
Tetapkan Taqwa
Ramadhan juga merupakan masa terbaik untuk menyucikan jiwa kerana orang yang berpuasa perlu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa atau sekurang-kurangnya yang boleh mencacatkan puasa. Justeru, segala tabiat buruk sebelum ini perlu ditinggalkan.
Apabila cabaran utama yang hadir dalam diri ini mampu diatasi oleh manusia itu bermakna mereka telah berjaya melawan godaan nafsu Syaitan yang mahu merosakkan jiwa mereka. Maka sebahagian daripada penyucian jiwa telah berjaya dilepasi. Tambah Ustaz Hazlin lagi, sekiranya halangan ini mampu dilepasi, maka mereka telah tergolong dalam kalangan orang-orang yang sabar dan secara langsungnya ini telah dapat menyucikan hati daripada melakukan perbuatan maksiat.

No comments:

Post a Comment